Ikan bekok pembuka selera - Utusan Malaysia

Ikan bekok pembuka selera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT 31 Mac – Budu, cencaluk dan ikan pekasam adalah antara makanan pembuka selera yang digemari masyarakat Melayu di negara ini, namun tidak ramai tahu mengenai ikan bekok yang juga dikategorikan sebagai pembuka selera popular terutama dalam kalangan masyarakat Kelantan.

Bekok adalah satu proses mengawet ikan yang diamalkan secara turun temurun oleh penduduk Kelantan terutama yang tinggal di tebing Sungai Kelantan.

Ikan bekok biasanya dibuat daripada ikan gelama yang dipancing dari sungai.

Memuatkan artikel berkaitan…

Untuk menikmati kulinari tradisi Kelantan itu, ikan bekok gelama yang agak besar saiznya digoreng garing dan dicecah de­ngan hirisan bawang besar, cili padi dan cuka untuk dinikmati dengan nasi panas.

Pembuat ikan bekok, Hasmah Mamat, 60, dari Kampung Kok Majid di sini berkata, dia hanya membuat bekok daripada ikan gelama sungai yang dipancing oleh suaminya yang juga pesara tentera, Rozlen Mahmud, 58, di muara sungai Kelantan yang air­nya payau.

“Untuk membuat bekok, ikan yang sudah disiang dan dibersihkan, direndam dalam air garam bersama cuka selama 30 minit atau dilumur dengan garam secukupnya sebelum dijemur seharian. Ini bagi menimbulkan rasa masin, lemak dan masam yang seimbang,” katanya ketika di­tanya tentang resipi membuat ikan gelama bekok di sini semalam.

Hasmah berkata, biasanya bekok dijual pada harga antara RM40 hingga RM80 sekilogram dan bagi ikan gred A, boleh mencecah sehingga RM90 sekilogram.

Sementara itu, Rozlen berkata, ikan gelama sungai atau gelama bekok lebih sedap berbanding gelama batu dan gelama batang yang banyak terdapat di perairan negara.

Seorang lagi pemancing dan pengusaha ikan bekok sambilan Rosli Ahmad, 45, berkata, aktiviti memancing dan menyiang ikan untuk dibuat bekok memberi ketenangan kepadanya selepas berdepan dengan tugas hakiki sebagai penjawat awam. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini