KUALA LUMPUR 13 April- Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun Facebook, ‘Sabah- Sarawak Merdeka’ yang memuat naik gambar berbentuk penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini.
Exco UMMAH, Masridzi Sat berkata, tindakan tegas perlu diambil kerana masih ada lagi segelintir pihak memandang remeh terhadap kesalahan menghina Ketua Agama Islam negara.
“Walaupun sebelum ini, pelbagai tindakan tegas telah diambil terhadap individu-individu yang memuat naik status serta gambar di laman sosial namun masih ada lagi yang berani berbuat sedemikian.
“UMMAH memandang serius penghinaan melampau ini dan menggesa PDRM serta Menteri Dalam Negeri mengambil tindakan segera bagi membendung perbuatan yang dilihat sebagai provakasi serta mampu mencetuskan huru-hara dalam negara,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Agong UMMAH, Mansor Ibrahim serta Exco UMMAH, Nor Rashidi Haris.
Laporan polis itu dibuat kira-kira pukul 2 petang di IPD Dang Wangi di sini.-UTUSAN ONLINE











