IPOH 1 April – Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kehilangan peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan, 29.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohamad Yunus Abu berkata, perkongsian maklumat tanpa kesahihan hanya akan mendatangkan kegusaran kepada keluarga mangsa selain mengganggu tugas dan siasatan pasukan penyelamat.
Katanya, sebarang maklumat adalah lebih baik disalurkan kepada pihak bertanggungjawab sama ada polis mahupun bomba untuk tindakan lanjut.
“Masyarakat perlu faham perasaan keluarga mangsa. Sebarang berita, kenyataan dalam media sosial yang tular dan video yang kurang menyenangkan mengenai operasi tidak sepatutnya dihebahkan.
“Jika ada pun buatlah sebagai simpanan sendiri. Saya berharap kerjasama semua pihak ini dapat dipertingkatkan,” katanya kepada pemberita di pos kawalan bomba di Kampung Pintu Padang di sini hari ini.
Yang turut hadir, Komander Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (Storm), Ismail Abdul Ghani dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng, Rohana Mustafa.
Sementara itu, Ismail menasihatkan orang ramai yang mahu membantu mencari Mohammad Ashraf agar mengutamakan aspek keselamatan terlebih dahulu.
Kata beliau, berdasarkan pemerhatian pihaknya, terdapat kumpulan tidak memakai kelengkapan bersesuaian malah ada dalam kalangan mereka yang hanya berselipar di cerun-cerun licin.
“Kita bukan mahu menolak sumbangan orang perseorangan mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi ingin pastikan mereka ini masuk dan keluar (mencari) dalam keadaan selamat. Kita tidak mahu berlaku insiden selepas insiden,” katanya.











