Hatrik kalah: Apa lagi rakyat mahu? - Utusan Malaysia

Hatrik kalah: Apa lagi rakyat mahu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA ada lagi pilihan raya kecil (PRK) selepas ini selain Sandakan, apa lagi nak diumumkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) agaknya?

Berapa banyak projek, pemberian, ‘gula-gula’ mahu pun kertas putih atau pertuduhan mahkamah perlu dibuat dan dibentangkan?

Sebelum ini di Semenyih, bertimpa-timpa pengumuman, dari tol percuma sehinggalah pengembalian Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada orang bujang dan pelajar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kali ini di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau lagi handal, projek kereta api pun boleh diumumkan. Bemula bayang-bayangan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang kemudian disahkan semalam melintasi Negeri Sembilan.

Itu belum diambil kira komitmen Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjanjikan Rantau yang di sebelah kawasan Parlimennya akan menerima perhatian khusus setelah bergelar Perdana Menteri kelak, insya-Allah.

Nampaknya, ada rakyat kisah? Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang sudah keluar gua pun tidak memberi impak diharapkan malah mungkin menjadi tikus membaiki labu di Rantau dengan kempen yang dilihat berbentuk serangan peribadi itu.

Memang, perjalanan masih panjang menuju pilihan raya umum akan datang. Namun kekalahan hatrik PH kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) selepas bahteranya diambil alih Datuk Seri Mohamad Hasan bukan sesuatu yang diinginkan.

Apatah lagi saat PH kini dikemudi dua tok guru politik yang terhandal iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Anwar masih belum mampu memukau pengundi di tiga kawasan terlibat.

Bahkan saat PH mahu melihat UMNO, BN yang kini bekerjasama dengan Pas terus layu dan rebah sebaliknya pula berlaku. Terutama selepas mendengar petikan ulasan Rafizi mengenai Kabinet semalam yang tular itu, macam-macam boleh dijangkakan tentang keutuhan kerjasama PH.

Dan UMNO pula, seharusnya tidak menoleh ke belakang lagi. Di Rantau, Mohamad berjaya menawan pengundi pelbagai kaum. Maka jalanlah terus bersama Tok Mat untuk mengekalkan momentum kebangkitan ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini