ESOK, Rantau akan jadi tumpuan seluruh negara. Siapa jadi pilihan 20,926 pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu akan terjawab.
Walaupun ada empat calon di atas kertas undi, persaingan sebenar hanya melibatkan dua nama iaitu Datuk Seri Mohamad Hasan dan Dr. S. Streram. Dua calon Bebas, awal-awal lagi boleh dianggap tiada peluang.
Mohamad bertanding sebagai penyandang kerusi selama tiga penggal, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan teraju utama kebangkitan UMNO serta Barisan Nasional ketika ini.
Pencapaiannya dalam membangunkan Negeri Sembilan selama 14 tahun sudah pasti diambil kira oleh pengundi, selain faktor anak jati menyebelahi bekas ahli perniagaan yang dikenali sebagai ‘Tok Mat’.
Lawannya, Streram, walaupun kurang karisma dan pengalaman dalam politik serta pentadbiran, namun disokong oleh kekuatan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Namun, PH berdepan hakisan sokongan rakyat yang kecewa dengan prestasi kerajaan dan ini terbukti dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands dan Semenyih, baru-baru ini.
PRK ini lebih penting buat Mohamad berbanding Streram. UMNO dan gabungan pembangkang mahu beliau menang esok untuk meneruskan momentum rasa tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan PH.
Gagal di Rantau bermakna kebangkitan parti-parti pembangkang akan terjejas. Mohamad kini menjadi harapan banyak pihak dan PRK ini adalah pilihan raya paling penting dalam kerjaya politiknya.











