TAIPING 3 April – Gara-gara tertekan kerana keluarga enggan membayar wang jaminan sebanyak RM3,000, seorang lelaki cuba membunuh diri dengan bertindak mencederakan kepalanya di Mahkamah Majistret Taiping semalam.
Kejadian pada pukul 9.30 pagi itu berlaku ketika lelaki terbabit diiring keluar oleh polis pengiring dalam keadaan bergari sebelum bertindak menghantuk kepalanya di cermin papan kenyataan di mahkamah.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, lelaki berusia 20 tahun itu didakwa di Mahkamah Majistret Taiping di sini semalam atas kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya.
Katanya, semasa dibawa keluar dari kamar Mahkamah Majistret menghala ke lokap mahkamah, lelaki itu telah bertindak agresif dengan menghantukkan kepalanya di cermin papan kenyataaan sehingga pecah.
“Tindakan lelaki itu menyebabkan dia mengalami luka di dahi dan juga tangan. Salah seorang anggota polis juga cedera di tangan kanan akibat pergelutan dengan tertuduh untuk masuk ke dalam lokap mahkamah.
“Lelaki itu telah melakukan tindakan agresif sejak dari dalam kamar mahkamah disebabkan keluarganya tidak mahu membayar wang jaminan sebanyak RM3,000,” katanya.
Menurut beliau, lelaki tersebut ditangkap atas kesalahan berkenaan pada Jumaat lalu dan dituduh di Mahkamah Majistret Taiping semalam.
“Bagi kesalahan tersebut, lelaki terbabit disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri,” katanya. – UTUSAN ONLINE











