HALSEY PERNAH JADI GELANDANGAN - Utusan Malaysia

HALSEY PERNAH JADI GELANDANGAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAPA sangka, sebelum mengecapi populariti dan berkecimpung dalam dunia seni penuh glamor, penyanyi Halsey rupa-rupanya pernah hidup sebagai gelandangan.

Memilih untuk mengaku, Halsey menganggap tiada apa yang perlu dimalukan memandangkan ia adalah sebahagian daripada kisah hidupnya yang benar-benar nyata berlaku.

Melalui zaman remaja penuh getir tanpa kenangan manis, Halsey berbangga kerana sekurang-kurangnya pengalaman itu menjadikan siapa dirinya yang sekarang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pendedahan itu dilakukan oleh penyanyi Without Me ini ketika dia dilantik untuk memberi ucapan dalam kempen Ending Youth Homelessness di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).

Kempen itu diusahakan oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai My Friend’s Place.

Berkongsi pengalaman pahitnya, kata wanita berusia 24 tahun ini kepayahan hidup sebagai seorang gelandangan pernah menyebabkan dia terfikir untuk melacurkan diri.

“Semasa saya menetap di New York, saya cuma seorang remaja yang sangat muda. Ketika remaja seusia sedang asyik mendekorasi bilik di rumah, saya pula sedang berperang dengan diri.

“Memikirkan bagaimana mahu menyabung nyawa mencari sesuap makanan untuk hari esoknya, saya sehinggakan pernah terfikir mahu melacurkan diri,” katanya.

Menolak andaian bahawa dia kekurangan kasih sayang daripada ibu bapa, Halsey cukup yakin kedua orang tuanya tidak pernah gagal memberikan kasih sayang yang mencukupi buatnya.

“Bukan kerana mereka, bukan kerana saya telah lakukan kejahatan atau sesuatu yang tidak kena berlaku. Tetapi kerana desakan hiduplah yang membuatkan saya berfikir begitu.

“Saya rasa ia juga tidak mustahil berlaku pada sesiapa sahaja,” tambahnya.

Tidak cuma itu, kongsi Halsey, dia juga pernah cuma memiliki wang sebanyak AS$9 (RM36) di dalam poket namun memilih untuk membeli minuman tenaga demi memastikan dia mampu berjaga sepanjang malam.

“Saya terpaksa buat begitu kerana keadaan kurang berbahaya kalau saya tidak tidur. Kalau sebaliknya, tiada siapa tahu kemungkinan buruk apa yang boleh terjadi. Mungkin saya akan diculik atau dirogol,” katanya.

BUKAN KERANA BINTANG TERNAMA

MENEGASKAN bahawa semua pihak perlu memainkan peranan untuk membantu golongan gelandangan, Halsey juga memohon agar tugas itu dilakukan dengan penuh rasa ikhlas.

Paling utama, jangan mengharapkan orang gelandangan itu akan bertukar menjadi seorang bintang ternama satu hari nanti.

“Jangan ada fikiran seperti itu hanya kerana saya adalah antara individu gelandangan yang disifatkan berjaya menjadi seorang bintang pada hari ini.

“Ini bukan soal menjadikan seseorang itu selebriti. Tetapi ini soal hidup dan mati mereka di jalanan. Ambil peduli dan dengarlah rintihan mereka,” katanya.

Sedar bahawa ramai menganggap kisah hidupnya sebagai satu inspirasi, Halsey mahu lebih ramai merasa lebih positif sambil ada usaha dijalankan untuk menangani isu gelandangan.

Paling utama kata penyanyi ini, ialah bagaimana bantuan hidup sewajarnya disalurkan kepada golongan ini selain usaha membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini