SYDNEY – Juara dunia dua kali dalam acara 100 meter (m) lari berpagar, Sally Pearson membuat keputusan menarik diri daripada kejohanan kompetetif pertamanya dalam masa setahun dengan alasan badannya mengalami keletihan melampau sekali gus menjejaskan perancanganya untuk membuat kemunculan semula.
Pearson yang memenangi gelaran dunia pada 2011 dan 2017, terpaksa berehat panjang setelah mengalami kecederaan buku lali 14 bulan lalu.
Atlet berusia 32 tahun dari Australia itu memenangi peringkat awal acara tersebut di Kejuaraan Olahraga Australia dengan catatan 12.99 saat (s) semalam, namun dilihat terlalu letih dalam keadaan cuaca panas di Sydney selepas itu, sekali gus memaksanya menarik diri di peringkat final.
“Selepas perlumbaan pertama saya rasa badan saya terlalu panas, kaki saya kekejangan dan saya rasa seperti perlu keluar daripada tempat tersebut.
“Saya amat kecewa sekali dengan apa yang berlaku. Tetapi saya perlu menjaga kesihatan saya pada tahun ini kerana jika saya sakit atau cedera lagi saya tidak akan dapat bergerak,” kata Pearson selepas menerima rawatan daripada pegawai perubatan semalam.
Situasi itu menjadi satu tamparan hebat buat juara Sukan Olimpik 2012 tersebut yang menetapkan misi untuk beraksi pada Kejuaraan Dunia 2019 di Doha, Qatar September depan.
Dia sering mengalami kecederaan sepanjang kariernya dan pernah mengalami patah pergelangan tangan ketika terjatuh semasa beraksi dalam Kejuaraan Dunia 2015.
Masalah hamstring pula menyebabkan dia terlepas impian memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Rio 2016 sebelum sekali lagi terpaksa menarik diri pada Sukan Komanwel di negaranya tahun lalu ekoran kecederaan buku lali. – AFP











