MANCHESTER 4 April – Manchester City merampas kembali kedudukan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mengalahkan Cardiff City 2-0, hari ini.
Bagaimanapun kemenangan terpaksa dibayar dengan harga mahal selepas Oleksandr Zinchenko mengalami kecederaan hamstring hanya 18 minit selepas beraksi, sekali gus memaksa Pep Guardiola membawa semula Kyle Walker di posisi bek kiri.
Guardiola sebelum itu cuba melakukan sistem penggiliran pemain kerana sudah dibelenggu isu kecederaan pemain pertahanan seperti Benjamin Mendy dan Fabian Delph.
City yang masih berada pada landasan memburu empat gelaran musim ini akan mempertahankan kejuaraan liga jika memenangi baki enam perlawanan kerana mengatasi Liverpool dengan satu mata.
Dalam aksi di Etihad, Kevin de Bruyne hanya memerlukan lima minit untuk meledak gol pertamanya sejak 22 Disenber selepas menyudahkan hantaran Aymeric Laporte.
City menguasai permainan dan mencipta banyak peluang sebelum Leroy Sane akhirnya menjadikan kedudukan 2-0 di hujung babak pertama.
Bagi Cardiff, kekalahan terbaru mendekatkan lagi mereka kepada penyingkiran apabila dipisahkan dengan lima mata dari zon selamat. – AGENSI











