KUALA LUMPUR 14 April – Bagi memberi gambaran jelas mengenai misi Peta Hala Tuju F:30, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas ahli gabungannya, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) di Wisma Darul Aman, Alor Setar.
Delegasi FAM yang diketuai Presidennya, Datuk Hamidin Mohd. Amin disambut oleh Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta barisan kepimpinan tertinggi badan bola sepak tersebut.
Dalam pertemuan itu, FAM memberi taklimat dan penerangan mengenai F:30 dan Projek Pemerkasaan Ahli Gabungan (ACE), selain bertukar pandangan mengenai beberapa isu berkaitan bola sepak tempatan.
Berita berkaitan:
“FAM mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Mukhriz dan KFA di atas kesudian menerima kunjungan kami. Ini adalah kunjungan hormat kedua kami selepas bertemu Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), dua minggu lalu.
“Tujuan utama kunjungan hormat ini sudah tentu adalah untuk kami di FAM dapat mengenali lebih rapat barisan pengurusan tertinggi persatuan bola sepak di peringkat negeri yang kebanyakannya kini dibarisi orang baharu.
“Kami mahu memastikan ahli-ahli gabungan kita ini memahami serta mempunyai citarasa atau hala tuju yang sama dengan apa yang sedang diusahakan FAM menerusi Peta Hala Tuju F:30 dan projek ACE.
“Jika tidak mencapai 100 peratus persamaan sekali pun, andai berjaya mencecah 70 peratus keserasian dengan ahli-ahli gabungan ini, ia sudah cukup baik dalam memastikan mereka dapat memahami apa yang sedang FAM usahakan ini,” kata Hamidin dalam satu kenyataan.
Selain Hamidin, delegasi FAM turut disertai Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi; Naib Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram; Exco FAM, Datuk Aminuddin Omar, Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya, Datuk Jefferey Low Han Chau, ACP (B) Md Dali Wahid dan Datuk Suraya Yaacob serta Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam. – UTUSAN ONLINE











