JOHOR BAHRU 14 April – Menteri Besar yang baharu, Dr. Sahruddin Jamal akan menubuhkan pasukannya sendiri untuk bersama-sama beliau terus membawa kemajuan negeri ini.
Dr. Sahruddin berkata, bagi tujuan itu, beliau akan melantik barisan Exco baharu dalam tempoh 14 hari.
“Bagaimanapun, saya akan cuba mencepatkan proses pelantikan barisan Exco baharu itu.
“Datuk Osman (bekas Menteri Besar) ada team (pasukan) beliau dan saya juga akan ada team yang selesa untuk bekerjasama,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Osman Sapian; Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) negeri, Aminolhuda Hassan; Pengerusi DAP negeri, Liew Chin Tong dan Timbalan Pengerusi PKR negeri, Jimmy Puah Wee Tse.
Dr. Sahruddin berkata, rombakan itu perkara biasa terutama apabila terjadi perubahan pucuk pimpinan di peringkat negeri ini. – UTUSAN ONLINE











