PELABUHAN KLANG – Empat nelayan dikhuatiri hilang selepas bot gentian kaca yang dinaiki mereka mengalami kerosakan berhampiran boya merah putih, Pelabuhan Barat kira-kira 0.3 batu nautika Selatan Tanjung Mahang, di sini semalam.
Keempat-empat mangsa adalah Mohd. Faisol Romle, 38, Muhammad Firdaus Romle, 25, Mohd. Amirul Adli Khairi, 25, dan Nazaruddin dilaporkan hilang pukul 11 pagi.
Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu kira-kira pukul 9.40 malam selepas rakan mangsa yang membuat pencarian gagal menemui mereka.
Beliau berkata, menurut laporan pengadu, salah seorang mangsa telah menghubungi rakannya untuk meminta pertolongan kerana bot mereka gagal dihidupkan berpunca daripada masalah
kerosakan pada bateri.
Keempat mereka sepatutnya tiba di Jeti Sungai Kembong, Pulau Indah pagi semalam.
‘‘Tiga rakan mangsa cuba menjejaki mereka di lokasi terakhir yang dinyatakan melalui aplikasi Whatsapp (berhampiran boya putih merah) namun bot berwarna putih tersebut gagal ditemui dan telefon bimbit mangsa juga gagal dihubungi.
“Pihak Maritim Malaysia (APMM) kemudiannya menerima laporan polis pada 9.40 malam sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada 10.30 malam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohammad Rosli menambah, SAR yang dilakukan dalam jarak radius lima batu nautika pada malam tadi masih belum membawa kepada apa-apa penemuan terhadap keempat-empat mangsa.
Jelas beliau, operasi diteruskan pagi ini disertai oleh Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dan Pasukan Polis Marin, Pulau Indah. – K! ONLINE











