KUALA LUMPUR 15 April – Empat anggota polis ditahan selepas disyaki terlibat dalam satu kes pemerasan seorang lelaki di sini lima hari lalu.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Roslan Bek Ahmad berkata, bertindak berdasarkan aduan yang diterima seorang lelaki Cina pada 10 April berhubung dakwaan pemerasan melibatkan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.
“Mangsa mendakwa pada 9 April, pada pukul lebih kurang 4.00 petang, ketika pengadu memandu kereta berhampiran Taman Connaught, tiba-tiba dia telah ditahan oleh dua individu yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis.
“Anggota polis tersebut telah membuat pemeriksaan dalam kereta mangsa dan menjumpai dadah, namun pengadu menafikan dadah tersebut adalah miliknya. Selain itu, pada masa yang sama mangsa juga mendakwa telah ditumbuk di bahagian muka oleh anggota terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.
Roslan Bek memberitahu, dari laporan yang diterima mangsa telah dibawa ke Balai Polis Cheras dan semasa di balai, pengadu diberi pilihan sama ada mengakui dadah yang dijumpai tersebut merupakan miliknya atau membayar sejumlah wang bernilai RM5,000 dan akan dibebaskan.
“Bagaimanapun, mangsa didakwa telah membayar jumlah wang tersebut dan dia dibebaskan,” ujarnya.
Tambah Roslan Bek, siasatan yang dilakukan telah mengenal pasti empat suspek yang terlibat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan (Pemerasan) dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan (Mendatangkan Cedera).
“Siasatan diteruskan mengikut Standard Operating Procedure (SOP) yang ditetapkan dan menurut dua peruntukan undang-undang yang sedia ada,” jelasnya lagi.
Justeru jelas Roslan Bek, polis Kuala Lumpur memandang serius perbuatan ini dan tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang bentuk salahlaku oleh pegawai atau anggotanya. – UTUSAN ONLINE











