Dugaan bertimpa Zachary sebelum Shazam! - Utusan Malaysia

Dugaan bertimpa Zachary sebelum Shazam!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Memiliki kebijaksanaan seperti Raja Sulaiman, kekuatan bak Heraclius, stamina umpama Atlas dan kekuasaan dewa Zeus, itulah Shazam. Karakter adiwira terbaharu daripada DC Extended Universe (DC) yang dijayakan pelakon kelahiran Lake Charles, Louisiana, Amerika Syarikat bernama Zachary Levi.

Walaupun kurang dikenali, Zachary membuktikan perkara tersebut tidak menjadi halangan untuknya beraksi cemerlang dalam membawakan watak adiwira tersebut. Shazam! menerima pujian melambung daripada penonton yang rata-rata bersetuju bahawa filem arahan David F. Sandberg itu sangat berbeza daripada penerbitan filem DC sebelum ini.

Ironi, Zachary atau nama sebenarnya, Zachary Levi Pugh, 38, tidak terus bersetuju untuk membawakan peranan adiwira tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Cerita Zachary, pada mulanya, dia diminta hadir ke sesi uji bakat untuk watak pelakon pembantu dalam Shazam! dan menolak tawaran tersebut.

“Mulanya saya anggap tawaran yang diberikan adalah satu kesilapan. Saya sangka pihak produksi mencari lelaki yang berotot besar atau seseorang yang lebih popular berbanding saya.

“Saya kata kepada pengurus bahawa saya tidak mahu membuang masa sesiapa,” kongsi Zachary kepada majalah Men’s Journal keluaran April.

Umpama rezeki terpijak, Zachary pantas menarik minat khalayak apabila foto pertamanya mengayakan kostum adiwira berkenaan tersebar. Meskipun mula dihargai peminat, tetapi pada masa sama seluruh Hollywood mempertikaikan kredibilitinya untuk membawa watak Billy Batson atau nama adiwiranya, Shazam.

Saat khabar angin yang mendakwa dia memegang watak Shazam semakin hangat diperkatakan, Zachary mula bekerja keras untuk mendapatkan bentuk tubuh ideal sebagai adiwira dan berkongsi swafoto tidak berbaju seperti disarankan jurulatihnya di gimnasium.

“Saya bekerja keras dengan senaman lebih masa serta hanya makan dada ayam dan sayur brokoli. Saya juga kurangkan pengambilan karbohidrat dibahagikan dengan protein whey.

“X mewakili jumlah suplemen dan Y mewakili sentimen berkenaan apa yang sedang saya lakukan dengan diri sendiri. Didarab dengan banyak swafoto sementara memandang ke arah sudut yang tidak pasti, itulah hasilnya sekarang,” jelas Zachary.

Realiti

Billy Batson dalam Shazam! merupakan seorang anak angkat yang terpisah daripada ibu kandung sebenarnya. Berusia 15 tahun, daripada seorang kanak-kanak yang tidak mempunyai keyakinan diri dia dikurniakan kuasa luar biasa daripada satu ahli sihir zaman kuno.

Seperti watak Billy Batson, Zachary juga mempunyai memori kanak-kanak yang gelap. Dia membesar di sebuah kawasan di Californa iaitu Ventura. Ibu kandungnya mempunyai masalah ketagihan alkohol dan penyalahgunaan dadah.

Tidak tamat di situ, kisah sedihnya bersambung apabila ibu bapanya bercerai ketika dia berusia enam tahun. Bapanya kemudian meninggalkannya kerana alasan pekerjaan. Kehidupan Zachary bersama dua adik perempuannya tidak seperti kanak-kanak normal yang lain apabila ibu dan bapa tiri mereka sering membawa mereka hidup berpindah-randah sehingga ke Washington.

Disebabkan itu, di mana-mana tempat, dia sentiasa menjadi ‘budak baharu’ kerana selalu berpindah-randah.

“Ketika saya berusia empat tahun, saya mula berpegang terhadap prinsip, jika saya buat seseorang ketawa, mereka tersenyum, itu sudah membuatkan saya berasa bagus.

“Saya mahu melakukan perkara tersebut setiap masa. Saya tidak akan berdiam berpeluk tubuh. Tanpa humor saya akan hilang kawan secepat saya berkawan dengan mereka,” jelasnya.

Tewas

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa Zachary pernah hadir ke uji bakat untuk memegang peranan penting dalam galaksi Marvel Cinematic Universe (MCU) iaitu Star-Lord dalam Guardians Of The Galaxy, namun rezeki tidak memihak kepadanya apabila tewas kepada Chris Pratt.

Zachary juga pernah muncul sebagai Fandral dalam dua filem MCU, Thor: The Dark World dan Thor: Ragnarok.

Terkesan dengan kegagalannya mendakap karakter idamannya, Star-Lord, dia mengalami kemurungan.

“Melihat gambar Chris di papan tanda gergasi sebagai Star-Lord, keadaan saya menjadi teruk. Dunia saya pada waktu itu menjadi gelap.

“Saya mula tidak mempunyai keyakinan diri dan berasakan kewujudan saya sebagai pelakon tidak berbaloi,” tuturnya.

Kemurungan

Keadaan semakin menjadi lebih teruk apabila diberi peluang terlibat dalam filem Thor: Ragnarok. Dalam filem tersebut dia hanya berpeluang melontarkan beberapa baris dialog sahaja. Lebih malang, kebanyakan dialognya dipotong.

Tidak cukup dengan itu, menyelak kembali perjalanan hidupnya yang penuh dengan liku, Zachary bercerita tentang perkahwinan singkatnya dengan bekas isteri, Missy Peregrym.

“Berkahwin pada 2015, namun kami bercerai 10 bulan kemudian. Sangat menyedihkan,” katanya ringkas.

Kematian ibu tersayang, memberi tamparan hebat buat dirinya sehingga masalah kemurungan yang dihadapi berada pada tahap kritikal apabila hampir berputus asa untuk meneruskan hidup.

“Kematian ibu merupakan tempoh waktu yang sangat mencabar buat diri saya.

“Sedar atau pun tidak, saya sudah berdepan dengan pelbagai episod gelap dalam kehidupan. Saya berasa ingin mengalah di Hollywood dan pernah berada pada fasa tidak mahu meneruskan kehidupan,” kongsinya.

Melepasi keadaan paling getir, Zachary kini mampu tersenyum dengan kehidupan yang dimiliki. Dia akhirnya sedar tiada guna menyalahkan takdir dan mengorbankan kehidupan yang boleh dinikmati sekali sahaja.

“Walaupun berdepan masalah kemurungan, saya tidak pernah terfikir untuk membunuh diri.

“Jika kita mempunyai masalah kaviti, berjumpalah dengan doktor gigi. Kalau badan sakit, berjumpa dengan doktor. Nasihat saya, bukan salah kesalahan untuk mengaku masalah yang kita hadapi dan okey untuk mendapatkan bantuan sewajarnya. Itulah keberanian yang saya tiup dalam diri,” tutup Zachary.

Filem Shazam! mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 4 April lalu.

Biarpun pernah menghidapi masalah kemurungan selepas gagal merebut watak Star-Lord yang jatuh di tangan Chris Pratt, Zachary Levi kini mampu berbangga apabila diberi kepercayaan memegang watak adiwira baharu yang memukau seluruh dunia menerusi Shazam!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini