KUALA LUMPUR 26 April – Gara-gara cuba mengelak daripada merempuh takungan air, dua wanita nyaris maut setelah kereta dipandu mereka bertembung di Jalan Sibiyu, Bintulu, Sarawak hari ini.
Memetik laporan Utusan Borneo, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Mohamad Meramit berkata, dua kereta dipandu dua wanita masing-masing berumur 30 dan 54 tahun itu bertembung akibat seorang daripada mereka cuba mengelak jalan yang ditenggelami air berkedalaman 0.5 meter pada pukul 6.46 pagi tadi.
“Impak rempuhan itu turut mengakibatkan satu daripada kereta terbabas ke pembahagi jalan manakala sebuah lagi terbalik di tengah jalan,” ujarnya.
Beliau berkata, sejurus sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba dengan kekuatan tujuh anggota mendapati kedua-dua mangsa sudah dikeluarkan daripada kenderaan oleh orang awam.
“Difahamkan seorang mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala seorang lagi cedera dan dihantar ke Hospital Bintulu untuk mendapatkan rawatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










