PETALING JAYA – Dua wanita ditahan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Petaling Jaya kerana didapati menjual barangan tiruan dalam Op Barang Tiruan di sebuah kompleks beli belah di PJS11 di sini semalam.
Kedua-dua wanita warga yang ditahan itu merupakan seorang warga tempatan dan seorang warga Indonesia masing-masing berusia 32 dan 54 tahun.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah Petaling Jaya, Kamaruddin Mohammad Yassin berkata, operasi pada pukul 12.45 tengah hari itu melibatkan enam pegawai penguatkuasa KPDNHEP Petaling Jaya dan disertai dua wakil cap dagang pemilik di negara ini.
“Berdasarkan maklumat yang diterima, satu operasi serbuan telah dilakukan dan kami telah merampas kasut serta selipar pelbagai jenama seperti PUMA, Nike, Louis Vuitton (LV) yang masih belum dianggarkan nilai serta jumlahnya di kompleks beli belah tersebut.
“Susulan penemuan itu, KPDNHEP Petaling Jaya kemudian menahan dua wanita iaitu seorang warga Indonesia serta majikannya yang juga warga tempatan yang dikenal pasti sebagai pemilik premis berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Kamaruddin, siasatan mendapati kasut serta selipar yang dirampas itu diperolehi dari luar negera seperti dari China, Thailand dan Vietnam dengan harga tidak sampai RM30 sepasang.
“Kesemua barangan itu mempunyai kualiti yang rendah kemudian dijual pada harga antara RM19 hingga mencecah lebih RM200 sepasang sama seperti harga barangan tulen.
“Kedua-dua wanita berkenaan kini ditahan mengikut Seksyen 39(1) Akta perihal Dagangan 2011 dan Seksyen 8(2)b akta sama kerana menjual barangan tiruan,” katanya. – K! ONLINE











