KLANG – Dua sahabat maut dengan seorang daripadanya digilis sebuah treler selepas motosikal dinaiki gagal memotong sebuah kenderaan lain di Jalan Pelabuhan Barat di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 6 petang, Amirul Naim Zainuddin, 18, yang parah di kepala akibat digilis meninggal dunia di lokasi kejadian.
Sementara, rakannya yang merupakan penunggang motosikal, Muhammad Daniel Imran, 18, disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kemalangan berlaku ketika dua sahabat yang menaiki motosikal jenis Honda Dash 125 dalam perjalanan ke Pelabuhan Klang dari Pulau Indah.
Katanya, siasatan awal mendapati Muhammad Daniel cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya sebelum motosikalnya bergesel dan kedua-dua mangsa terjatuh di jalan raya.
“Sebuah treler yang dipandu lelaki berusia 52 gagal mengelak sebelum menggilis Amirul Naim di bahagian kepala dan maut di lokasi kejadian.
“Muhammad Daniel yang parah akibat terjatuh dikejarkan ke HTAR namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital itu akibat parah bahagian dalam perut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Jelas beliau, mayat kedua-dua mangsa yang berada di HTAR akan dibedah siasat pagi ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











