Suspek utama berusia 31 dan rakannya yang berumur 27 tahun itu diberkas di sebuah rumah di Kampung Tersusun Balun Bidai di Kampung Gajah pada pukul 2.25 petang.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, kejadian samun oleh suspek itu berlaku pada pukul 4.15 pagi ketika pemilik rumah bersama dua anaknya sedang tidur.
Katanya, wanita yang merupakan tukang masak berusia 47 tahun itu kemudiannya dikejutkan dengan kehadiran suspek berusia 31 tahun yang mengacukan pisau ke arahnya sambil meminta wang dan telefon bimbit milik mangsa.
“Lelaki yang tidak berbaju dan menutup mukanya dengan baju itu masuk ke dalam rumah melalui tingkap dapur jenis kayu rumah mangsa.
“Mangsa yang takut diugut itu menyerahkan wang sebanyak RM130 dan sebuah telefon bimbit sebelum suspek melarikan diri melalui tingkap dapur tersebut dengan menuju ke arah semak belakang rumah mangsa,” katanya.
Menurut Mohamad Zainal, dalam kejadian itu, mangsa dan dua anaknya yang berusia 22 dan 17 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. Katanya, soal siasat terhadap suspek utama mengaku terlibat dalam kes samun tersebut dan duit hasil samun itu telah digunakan untuk membeli dadah jenis syabu manakala telefon bimbit milik mangsa pula berjaya dirampas di rumah suspek ditangkap.
“Suspek berusia 27 tahun itu mengaku berperanan sebagai tukang hantar suspek utama ke rumah mangsa.
“Ujian awalan air kencing kedua-dua mereka positif dadah jenis methamphetamine dengan kedua-duanya turut mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah,” katanya. – UTUSAN ONLINE











