ALOR SETAR – Tindakan dua pemandu lori mengangkut kayu getah dan balak jenis keledang yang dianggarkan bernilai RM20,000 tanpa kebenaran mengundang padah apabila kedua-duanya ditahan penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) dalam operasi April Fool semalam.
Dua lelaki berusia 27 dan 30 tahun itu ditahan di Jalan Batu 5, Sik dekat sini kira-kira pukul 8.30 malam.
Pengarah Perhutanan negeri, Roslan Rani berkata, penahanan dibuat setelah penguat kuasa JPNK membuat intipan selama empat jam di kawasan tersebut.
“Pemeriksaan mendapati dua lori itu membawa muatan kayu getah dan balak jenis keledang yang dianggarkan bernilai RM20,000 tanpa kebenaran iaitu pas pemindah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, pihaknya percaya kayu hutan berkenaan diambil dari hutan simpan sekitar Sik, walaubagaimanapun siasatan lanjut masih dilakukan berhubung perkara tersebut.
“Dalam siasatan awal yang dilakukan, dua pemandu lori yang ditahan mendakwa mereka tidak mengenali antara satu sama lain,” ujarnya.
Tambahnya, dua individu terbabit dilepaskan dengan jaminan polis manakala kayu dan dua buah lori berkenaan disita untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 68(1) Akta Perhutanan Negara 1985 kerana membawa hasil hutan tanpa kebenaran yang sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya,” jelasnya. – K! ONLINE











