THE RED WARRIORS (TRW) satu jenama yang amat gah dalam bola sepak Malaysia suatu ketika dulu, malah penyokong Kelantan tidak akan lupa detik mereka menjulang kejuaraan treble pada 2012 dengan muncul juara Piala Malaysia, Liga Super serta Piala FA.
Stadium Sultan Muhammad IV sentiasa sesak sepanjang zaman kegemilangan TRW, malah Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) kerap berdepan masalah kehabisan tiket setiap kali pasukan itu beraksi – begitulah hebat dan besarnya pengaruh bola sepak Kelantan.
Bagaimanapun, selepas hampir 10 tahun meniti kegemilangan, Kelantan berdepan zaman kejatuhan, dan tersungkur ke Liga Perdana musim ini adalah kemuncak mimpi ngeri mereka.
Apa yang lebih membimbangkan penyokong, malapetaka mungkin tidak berakhir di situ kerana dengan kemelut yang melanda, daripada isu pemotongan mata, kegagalan membayar gaji serta prestasi, TRW kini menghuni tangga tercorot liga.
Mereka hanya mencatat satu kemenangan daripada sembilan perlawanan.
TRW berisiko tersungkur ke Liga M3 atau lebih memalukan dinyah daripada Liga Malaysia seperti Perlis jika masalah kewangan kian meruncing.
“Pemotongan mata dan hukuman daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menambah lagi derita TRW yang bergelut untuk keluar dari zon penyingkiran.
“Dengan kegagalan itu, saya fikir eloklah beliau (Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan) dan seluruh barisan Exco melepaskan jawatan,” kata Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors Kota Bharu (TRWKB) Mohd. Zainy Mohd. Zain kepada Utusan Malaysia.
Bukan itu sahaja, Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) juga katanya perlu menebus semula kesilapan yang dilakukan ketika pemilihan KAFA 2017 dengan menyelamat badan induk itu.
“Takkan nak tunggu Kelantan ke Liga M3 baru hendak melakukan langkah menyelamat. Jadi gunalah kebijaksaan anda (PBJ) dengan melakukan Kongres Luar Biasa (EGM).
“EGM adalah langkah terbaik dalam menyelesaikan masalah ini. Kami penyokong hanya mampu bersuara dan masa depan KAFA terletak di tangan anda warga PBJ,” ujarnya.
Di bawah pentadbiran Tan Sri Annuar Musa selama 10 tahun bermula 2007, Kelantan telah mengecapi zaman kegemilangan dengan merangkul semua piala yang dipertandingkan dan beraksi di peringkat Asia sehingga ke suku akhir.
Annuar meletak jawatan Presiden pada September 2017 dan dalam kongres persatuan itu, Bibi Ramjani yang tidak mempunyai latar belakang bola sepak muncul peneraju baharu.
Dalam tempoh tidak sampai dua tahun TRW telah mempunyai empat jurulatih, bermula dengan Satih Bensoh; Fajer Ibrahim; Yusri Che Lah dan Marko Kraljevic namun prestasi TRW tetap merudum.











