KUALA LUMPUR 3 April – Seorang individu bergelar Tan Sri bersama isterinya yang ditahan untuk disiasat berhubung kes dakwaan mendera pembantu rumah telah dibebaskan kira-kira pukul 5 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, individu berusia 48 tahun dan isterinya itu ditahan di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, dekat sini kira-kira pukul 8 pagi tadi.
“Kedua-duanya telah dibawa ke Mahkamah Kajang dan permohonan reman dibenarkan hingga pukul 5 petang tadi.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 ,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, siasatan masih dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Vekram Sinnaiah di talian 019-4737108.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan kesemua pembantu rumah yang didakwa didera oleh majikannya itu telah dirakam semula percakapan untuk siasatan.











