IPOH – Kumpulan militan Daesh kini menyasarkan dua negara di Asia Tenggara iaitu kawasan selatan Filipina dan Rakhine, Myanmar sebagai lokasi baharu pusat operasi mereka.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kumpulan pengganas itu memilih rantau ini ekoran kedudukan mereka di Syria dan Iraq yang kian lemah dan tergugat akibat serangan tentera bersekutu.
Malah katanya, jumlah anggota kumpulan pengganas Daesh di dua negara berkenaan yang sebelum ini dianggarkan sebanyak 45,000 orang kini berkurangan daripada 35,000 orang.
“Hasil daripada pengumpulan dan pertukaran maklumat daripada rakan-rakan agensi di seluruh negara, mereka ketika ini sedang melihat dan mencari tapak baharu.
“Contohnya di Eropah, mereka menumpukan kepada negara-negara Balkan seperti Bosnia dan beberapa negara lain. Kita sedar bagi Asia Tenggara, selatan Filipina dan Rakhine, Myanmar antara sasaran mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara bagi Kontinjen Perak 2019 di Mes Pegawai Kanan di sini hari ini.
Mohamad Fuzi berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berhubung kekalahan kumpulan militan Daesh di Iraq dan Syria bukanlah pengakhiran kepada keganasan mereka sebaliknya kekal menjadi ancaman kepada keamanan dan keselamatan global.
Malah katanya, sudah ramai yang memasuki dua negara berkenaan termasuk rakyat Malaysia dan negara jiran dengan menjadikan Tawau dan Sandakan, Sabah sebagai laluan masuk ke kawasan bergolak itu.
“Pemantauan dan pemeriksaan rapi sentiasa dilakukan di Tawau dan Sandakan selain daerah lain di Pantai Timur negeri itu termasuk 10 daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSzone).
“Operasi dan tangkapan juga dilakukan dari semasa ke semasa bagi mengekang tindakan mana-mana pihak untuk menyusup masuk ke selatan Filipina melalui negara ini,” katanya.
Katanya, polis memantau isu berkenaan dan pihaknya juga mempunyai Pusat Serantau Digital Bagi Memintas Mesej Melalui Komunikasi (CMC) dalam usaha mengekang dan mengesan penyebaran ideologi Daesh ini bukan sahaja dalam kalangan warga kita tetapi rakyat serantau khususnya di Asia Tenggara. – K! ONLINE











