NILAI – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merampas sebanyak 338 kilogram (kg) dadah jenis ketamin bernilai kira-kira RM20 juta dalam dua serbuan berasingan pada 25 Mac lalu.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Azimah Abdul Hamid berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah premis perniagaan di kompleks beli-belah di Kuala Lumpur pada pukul 4.30 petang.
“Dalam serbuan pertama kami menahan dua lelaki warga Pakistan bersama 70 kotak mengandungi gulungan kain. Pemeriksaan keatas kotak-kotak itu menjumpai 304 bungkusan plastik disyaki mengandungi dadah yang disorokkan dalam gulungan kain.
“Berat kasar serbuk putih disyaki dadah yang ditemui dalam serbuan di kompleks beli belah itu adalah 229 kg,” katanya pada sidang akhbar di bangunan Cawangan Narkotik Kastam di Kampung Jijan Tengah dekat sini hari ini.
Azimah berkata, selepas siasatan dilakukan keatas suspek utama, anggota JKDM dan PDRM kemudian menyerbu sebuah gudang di Pelabuhan Klang, Selangor pada hari yang sama.
Menurut beliau, sebanyak 146 plastik disyaki mengandungi dadah seberat 109 kg ditemui disorokkan dalam gulungan kain dalam 27 kotak di gudang berkenaan.
Kata beliau, JKDM dan PDRM seterusnya menahan dua lagi lelaki warga tempatan, dua lelaki warga India dan seorang lelaki warga Pakistan disyaki ahli rangkaian sindiket itu.
Jelasnya, kesemua tujuh individu yang ditahan berusia antara 35 hingga 54 tahun itu ditahan reman selama 14 hari bermula 25 Mac lalu bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tambahnya, kesemua suspek akan didakwa di mahkamah dalam tempoh terdekat dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dengan denda rotan minimum 15 sebatan.
“Sindiket ini dipercayai berselindung di sebalik perniagaan tekstil. Dadah itu dipercayai dibawa dari pelabuhan di Karachi, Pakistan ke Pelabuhan Klang.
“Dadah itu dipercayai untuk pasaran tempatan dan jika terlepas kepada sindiket pengedaran di sini boleh digunakan oleh hampir 1.7 juta penagih dadah,” katanya. – K! ONLINE











