REMBAU 13 April – Seorang calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, R. Malarvizhi, 51, cukup teruja dengan proses pengundian yang berlangsung hari ini.
Menurut suri rumah itu, keterujaannya bukan hanya kerana dia merupakan salah seorang calon tetapi PRK ini adalah kali pertama dirinya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Saya tiba di pusat pengundian di sini kira-kira pukul 6.45 pagi kerana saya mahu menjadi pengundi yang terawal.
“Ini adalah kali pertama saya mengundi kerana sebelum ini saya menetap selama 25 tahun di Kanada. Saya kembali pada tahun 2016 dan apabila diketahui ada pilihan raya pada 2018 saya mendaftar sebagai pemilih namun tidak layak untuk mengundi kerana hanya yang berdaftar sebelum akhir tahun 2017 yang boleh mengundi pada waktu itu,” katanya.
Dia ditemui pemberita selepas selesai mengundi di pusat pengundi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Rantau di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











