Buih sabun bawa kepada penemuan kubur Wang Kelian - Utusan Malaysia

Buih sabun bawa kepada penemuan kubur Wang Kelian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Air sungai berbuih putih dan berbau sabun membawa kepada penemuan kem penempatan sementara dan kubur Wang Kelian, Perlis kira-kira tiga tahun lepas.

Saksi pertama pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kes itu, Koperal Mat Ten berkata, dia bersama rakan setugas, Lans Koperal Yusuf Islam Hasan menemuinya ketika melakukan rondaan di kawasan berkenaan pada awal pagi 19 Januari 2015.

Katanya, didorong perasaan ingin tahu, mereka kemudian mengikut arah hulu sungai bagi mencari punca buih sabun.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dari situ, saya ternampak seorang perempuan sedang membasuh pakaian yang jaraknya sangat dekat dengan kami.

“Selepas wanita itu naik ke atas, kami mengekorinya dan ternampak seorang lelaki sedang berbaring di atas buaian di kawasan tersebut,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Khairul Anuar Abd Halim.

Mat yang merupakan anggota polis Orang Asli dari Batalion Tiga, Pasukan Gerakan Am (PGA) berpangkalan di Bidor berkata, dia dan rakan setugas terus melakukan intipan bagi memastikan maklumat tepat diperoleh sebelum disampaikan kepada pegawai atasan.

Menurut Mat, dia seterusnya menemukan sebuah binaan daripada kayu dan dipercayai dijadikan sebuah kedai berikutan terdapat pelbagai barang runcit seperti beras, bawang, minyak masak dan sardin dengan label bertulisan bahasa Thailand.

“Saya juga terdengar bunyi generator dan menyangka ia mungkin lokasi yang dijadikan tempat memproses dadah,” katanya.

Mat berkata, mereka kemudiannya turun ke pos kawalan untuk memaklumkan penemuan itu kepada pegawai atasannya.

Katanya, keesokan harinya, pegawainya itu telah mengarahkan pasukan dengan kekuatan 10 anggota untuk pergi semula ke lokasi penemuan itu sekitar pukul 12 tengah hari.

“Sebaik sahaja menghampiri kawasan itu, saya ternampak wanita yang sama sambil memegang telefon.

“Tiba-tiba, saya terdengar telefon berbunyi seperti mesej masuk dan wanita itu dilihat gelisah selepas membaca mesej itu dan kemudian dia menjerit ‘polis datang’,” katanya.

Katanya, tindakan itu telah menyebabkan sekumpulan manusia berlari bertempiran dan tinggal enam orang berada dalam satu pondok berkunci.

Prosiding RCI itu berlangsung di hadapan Pengerusinya, Tun Arifin Zakaria. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini