Baru-baru ini, saya diajukan soalan kontroversi yang selalu didebatkan dalam masyarakat. Adakah benar membuat hibah itu adalah satu helah melarikan diri daripada harta yang diagih mengikut hukum faraid?
Ia seolah-olah seperti si pemberi hibah ini tidak mahu hartanya diagih mengikut hukum faraid lalu dihibahkan hanya kepada orang yang dikehendaki sahaja.
Berbeza dengan wasiat yang pemberiannya berlaku selepas mati dan terhad kepada satu pertiga kepada bukan waris sahaja (iaitu pihak yang tidak menerima harta pusaka mengikut hukum faraid kepada si mati), hibah pula pemberiannya bebas dilakukan kepada waris atau bukan waris.
Pemberian hibah berkuat kuasa apabila segala rukun dan syarat terlaksana ketika hidup. Hibah tidak berkuat kuasa selepas mati seperti wasiat.
Namun, ada banyak perbincangan dalam kalangan ulama seluruh dunia tentang fleksibiliti pemberi hibah untuk menggunakan harta yang telah dihibah itu selagi dia mahukan atau masih hidup. Perbincangan ini saya ajukan dalam siri akan datang.
Perancangan harta
Hibah itu adalah satu daripada bentuk perancangan harta yang dibenarkan dalam Islam dan merupakan pilihan seperti wasiat, sedekah dan wakaf. Ia pilihan dan bukannya wajib. Dalil mengenainya juga wujud di dalam al-Quran, as-sunnah dan ijmak ulama. Wujudnya pilihan ini membuktikan Islam sebagai agama yang syumul .
Malah, pelbagai pandangan fuqaha melalui pelbagai kitab juga wujud mengenai hibah. Ini boleh dibuat melalui carian Google dengan mudah.
Hari ini, urusan harta menjadi semakin kompleks dan rumit. Masyarakat ada banyak keperluan dan hasrat. Hibah memenuhi keperluan dan hasrat tersebut. Tidak perlulah di banding dan didebatkan mana yang lebih baik antara hukum faraid dan hibah kerana kedua-duanya adalah tuntutan agama dan mempunyai fungsi serta hikmah masing-masing.
Pada ketika kita asyik berdebat isu ini, harta pusaka orang Islam semakin bermasalah. Saya lebih suka fokuskan segala usaha memberi penyelesaian, mencegah dan menyelesaikan kes-kes harta pusaka daripada berdebat.
Di Malaysia, kes-kes berkaitan hibah banyak diluluskan oleh Mahkamah Syariah. Perlu di ingat bahawa hanya Mahkamah Syariah sahaja yang mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kesahihan sesuatu hibah. Bukan mana-mana individu, syarikat, ustaz, pensyarah universiti, peguam, pesuruhjaya sumpah atau sesiapa sahaja.
Mereka ini hanya boleh memberi pandangan berdasarkan pengetahuan dan pengalaman mereka sahaja tetapi yang mengesahkan hibah itu sah dan berkuat kuasa mengikut undang-undang syarak di Malayisa ialah hakim syariah di Mahkamah Syariah yang berijtihad berdasarkan peruntukan undang-undang, maslahah dan hukum syarak.
Tetapi, saya pernah jumpa respon seorang hamba Allah yang membuatkan saya terkelu lidah dan hilang bahasa bila dia menyebut, “Hakim Mahkamah Syariah pun bukan tahu sangat hukum syarak!”
Pemilik harta
Untuk pengetahuan pembaca, hukum faraid itu terpakai hanya ke atas harta pusaka si mati sahaja iaitu harta milik sah si mati ketika kematiannya. Ini memang tidak boleh disangkal langsung.
Hak mengikut hukum faraid waris wujud ketika kematian berlaku. Selain diagih mengikut hukum faraid, waris juga boleh bersetuju dan berkompromi mengenai agihan ini secara muafakat.
Hibah sebaliknya bukan harta pusaka si mati kerana ia berkuat kuasa semasa tuan punya harta masih hidup dan sudah menjadi milik sah penerima hibah. Ia bukan lagi milik tuan punya harta yang asal kerana telah dihibahkan.
Jika kita berhujah hibah melarikan diri daripada hukum faraid, maka ini bermakna sebagai pemilik harta semasa hidup, kita langsung tidak boleh menjual, memajak atau membuat apa sahaja transaksi ke atas harta milik kita.
Menjual rumah yang kita miliki sekarang akan dianggap melarikan diri daripada hukum faraid malah mengeluarkan wang dalam akaun simpanan untuk perbelanjaan harian kita juga akan dianggap perbuatan melarikan diri daripada faraid.
Maka amat malanglah kita sebagai umat Islam kerana langsung tiada kuasa untuk memanfaatkan harta yang telah diusahakan dan dikumpulkan sepanjang kehidupan!
Meninggal dunia
Golongan yang berpandangan hibah melarikan diri daripada hukum faraid ini sebenarnya tidak faham perbezaan di antara harta dan harta pusaka. Harta ialah apa sahaja milik kita selagi masih hidup.
Kita berkuasa penuh untuk menjual, memajak, menghibah, mewasiat, mewakaf, membelanja, bersedekah atau memberi hadiah harta kita kepada sesiapapun yang dikehendaki. Itu hak kita sebagai pemilik.
Tetapi, sebaik sahaja meninggal dunia, maka semua yang kita miliki tadi sah menjadi harta pusaka dan hanya waris yang berhak mengikut hukum faraid sahaja berhak ke atasnya.
Harta yang telah saya laksanakan transaksi di atas ketika masih hidup bukan harta pusaka saya. Jadi betulkah pandangan hibah melarikan diri daripada hukum faraid?
Ariffin Sabirin adalah Pengasas Wasiyyah Shoppe Berhad











