GOPENG 3 April – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menumpukan kepada dua lokasi terbaharu hari ini setelah operasi pencarian Mohammad Ashraf Hassan, 29, di keseluruhan laluan perlumbaan Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019 itu dijalankan pasukan keselamatan sebelum ini.
Ketua Zon 1 Perak, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd. Khairul Jamil berkata, lokasi terbaharu itu meliputi kawasan seluas 24 kilometer (km) persegi di luar laluan kesemua kategori perlumbaan termasuk di dalam Gua Tempurung dan jalan balak sepanjang enam km persegi
Katanya, pencarian di kedua-dua kawasan terbaharu itu terutama di dalam Gua Tempurung adalah pertama kali dijalankan pihak bomba yang bermula hari ini.
“Ini pertama kali kita masuk ke dalam kawasan rekreasi itu untuk pencarian selain jalan balak di Hutan Simpan Bukit Kinta yang berada berhampiran laluan bagi kategori 100 km.
“Tumpuan di kawasan sekitar dan di dalam Gua Tempurung dengan pencarian pertama telah dilakukan bagi tinjauan awal dan pemetaan.
“Esok kita akan bersama dengan pihak pengurusan Gua Tempurung bagi mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kita tidak menolak sebarang kemungkinan kerana terdapat laluan lain di belakang gua tersebut,” katanya ketika ditemui di pos kawalan bomba di Kampung Pintu Padang di sini hari ini.
Dalam kejadian pada 23 Mac lalu, Mohammad Ashraf yang memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25 kilometer disedari hilang selepas tidak tiba di garisan penamat meskipun berada pada kedudukan 10 peserta teratas pertandingan itu.-UTUSAN ONLINE











