KUALA LUMPUR 5 April.- Satu laporan mengenai kejadian tanah runtuh diterima Balai Bomba dan Penyelamat Ampang di Jalan BU 2/1, Bukit Utama, Bukit Antarabangsa, malam tadi.
Ketua Balainya, Arif Kassim berkata, tujuh anggota dikerahkan ke lokasi selepas menerima maklumat tersebut pada pukul 10.29 malam.
Ujarnya, setibanya mereka di sana, pasukan bertugas mendapati ada kesan hakisan pada tebing cerun namun tiada lagi pergerakan tanah dikesan.
“Sehubungan itu, pegawai Unit Cerun Majlis Perbandaran Ampang Jaya telah dimaklumkan mengenai kejadian dan akan membuat kajian menyeluruh mengenai kesan runtuhan hari ini.
“Selain itu, pihak bomba juga akan memasang sawar-sawar di lokasi kejadian bagi menghalang orang ramai memasuki kawasan ini,” katanya di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE











