Bina lebih banyak rumah mampu milik - Utusan Malaysia

Bina lebih banyak rumah mampu milik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
KEPUTUSAN
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau sudah pun diketahui.

Jadi tumpuan semua pihak khususnya kerajaan Negeri Sembilan serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) adalah untuk meningkatkan bekalan rumah yang benar-benar mampu milik dengan harga di bawah RM100,000 di negeri itu.

Mengikut Dasar Perumahan Negeri Sembilan 2015, rumah mampu milik (RMM) di sesuatu kawasan di negeri itu harus memenuhi sasaran 50 peratus.

Memuatkan artikel berkaitan…

RMM itu dibahagikan kepada tiga kategori iaitu 15 peratus jenis A dengan harga maksimum RM80,000, 15 peratus jenis B (harga maksimum RM250,000) dan 20 peratus jenis C (harga maksimum RM400,000).

Rakyat biasa majoritinya hanya mampu membeli RMM jenis A, tetapi 15 peratus rumah jenis ini sahaja yang dibina di setiap kawasan.

Anggaran kemampuan majoriti penduduk Negeri Sembilan adalah berdasarkan standard yang digunakan oleh Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) dan Bank Dunia yang menyatakan bahawa nisbah harga rumah kepada pendapatan keluarga haruslah tidak melebihi tiga kali ganda pendapatan tahunan median.

Kenyataan Bank Negara Malaysia pada Ogos lalu juga menyatakan bahawa harga rumah sepatutnya tidak melebihi tiga kali ganda purata pendapatan tahunan.

Merujuk data Jabatan Perangkaan, pendapatan isi rumah median di Negeri Sembilan pada 2016 adalah RM4,579. Ini bermakna harga rumah yang mampu dimiliki penduduk Negeri Sembilan adalah RM4,579 x 12 x 3 = RM164,844. Golongan berpendapatan rendah (B40) pula dianggarkan berpendapatan 60 peratus daripada median tersebut. Justeru, pendapatan isu rumah B40 dianggarkan sebanyak RM2,747. Maka kemampuan membeli rumah B40 ialah RM2,747 x 12 x 3 = RM 98,892.

Persoalannya, berapakah bilangan unit rumah RMM jenis A (harga RM80,000) yang dibina? Jika Dasar Perumahan Negeri Sembilan 2015 hanya mensyaratkan 15 peratus dibina, sudah pasti tidak mencukupi?

Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong menyatakan bahawa sebanyak 1,384 unit perumahan RMM jenis A akan dibangunkan oleh pemaju swasta.

Negeri Sembilan mempunyai penduduk seramai 1.14 juta orang, dan bilangan keluarga B40 sekitar 108,000. Jika dianggarkan 30 peratus daripada mereka tidak memiliki rumah, maka stok rumah RMM jenis A yang diperlukan ialah lebih 32,000 unit.

Dengan mensyaratkan dibina hanya 15 peratus perumahan RMM jenis A dalam lingkungan harga RM80,000, bilakah kerajaan Negeri Sembilan akan menepati permintaan rakyat? Apakah rasionalnya membina rumah berharga RM400,000 sebanyak 20 peratus jika rakyat memerlukan rumah sekitar RM80,000 sahaja.

Justeru, kerajaan Negeri Sembilan harus membina rumah mengikut permintaan rakyat bukannya mengikut hasrat pemaju yang ingin memaksimumkan keuntungan. Tidak guna lagi mendengar kepada rasional pemaju yang asyik merungut bahawa harga rumah tidak boleh dikurangkan.

Antara yang perlu diberi perhatian adalah untuk meningkatkan bilangan rumah RMM jenis A bagi memenuhi permintaan sebenar rakyat setempat. Perlu juga dilaksanakan kajian permintaan perumahan Negeri Sembilan, supaya kerajaan negeri mendapat gambaran sebenar keperluan rakyat dan tidak dikaburi oleh spekulasi harga oleh mereka yang membeli rumah untuk keuntungan bukannya bagi didiami.

Hentikan penjualan tanah-tanah strategik yang dimiliki oleh kerajaan supaya ianya boleh diserahkan kepada KPKT untuk pembinaan rumah RMM jenis A.

Akhirnya, tingkatkan syarat pembinaan RMM jenis A kepada 30 peratus daripada keseluruhan jumlah pembinaan rumah oleh pemaju swasta.

TINAGARAN 
SUBRAMANIAM

Aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini