KUALA TERENGGANU 3 April – Kerajaan negeri menyediakan bantuan pinjaman jangka pendek
sehingga RM3,000 kepada peniaga-peniaga bazar Ramadan di negeri ini sempena bulan puasa
tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd.
Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, setakat ini seramai 406 peniaga telah membuat permohonan
dan bantuan tersebut dijangka diagihkan seminggu sebelum umat Islam mula berpuasa.
Bagaimanapun katanya, pinjaman yang julung kali diperkenalkan itu hanya akan diberikan
kepada peniaga yang memerlukan dan berdaftar di bawah Persatuan Penjaja Kecil Negeri
Terengganu.
“Kita menerima cadangan daripada kalangan peniaga mengenai pinjaman jangka pendek ini dan
setelah dipertimbangkan kita bersetuju menyediakan peruntukan kira-kira RM350,000.
“Kita beri kepada mereka dan kemudian mereka perlu bayar balik pinjaman itu dalam tempoh
sebulan, sebaik sahaja habis Ramadan hingga akhir Syawal. Kita percaya peminjam telus dan
akan membuat bayaran,” ujarnya ketika berucap menggulung perbahasan dalan sidang Dewan
Undangan Negeri Penggal Ke-2 hari ini.
Mohd. Nurkhuzaini memberitahu, pemohon yang berminat mestilah mendapat tapak bazar
Ramadan yang dikendalikan pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah masing-masing.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata permohonan pensijilan halal dalam kalangan
usahawan anak negeri masih lagi kurang memberangsangkan dan perkara itu perlu segera
ditingkatkan.
“Ini kerana kita berada dalam zon selesa kalau kita di negeri Terengganu tidak banyak orang
bukan Islam sekali gis menjadikan produk pengeluaran kita tak dinilai oleh pembeli berbanding
situasi di Pantai Barat,” katanya. – UTUSAN ONLINE











