PENYEDIAAN bekalan makanan yang mencukupi, mudah disediakan dan selamat untuk dimakan adalah antara kriteria yang menjadi tumpuan pelaksanaan program Food Bank For Ummah peringkat kebangsaan.
Inisiatif yang bakal diterajui oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) itu diperkenalkan bagi membantu golongan kurang bernasib baik termasuk dalam kalangan mangsa bencana yang mungkin berdepan kesukaran mendapatkan bekalan makanan diperlukan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh ketika mengumumkan perkara itu berkata, fasa pelaksanaan program Food Bank For Ummah oleh Yapeim dengan kerjasama beberapa pihak merupakan antara usaha mewujudkan konsep negara Rahmah di Malaysia.
Beliau berkata, konsep diketengahkan melalui penggunaan bekas simpan makanan khas yang diproses menyahkan bakteria, mampu jadikan makanan tahan lebih lama, mudah dihidangkan dan tersedia untuk dimakan.
Katanya, program peringkat kebangsaan Food Bank For Ummah dilihat mampu membantu warga memerlukan termasuk mangsa bencana alam melalui penggunaan mesin Retots.
“Teknologi ini membolehkan makanan dalam bekas khas tidak rosak, hanya rendam sebelum masak. Ia mungkin boleh diguna untuk bantu mangsa gempa bumi, tanpa sejuk beku. Inilah konsep Rahmah yang kita hendak terjemahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Food Bank, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur.
Yang turut hadir Pengarah Jawi, Mohd. Ajib Ismail dan Ketua Pengarah Yapeim, Datuk Abibullah Samsudin.
Mengulas lanjut tersebut, Abibullah berkata, Yapeim bakal menjalinkan kerjasama strategik bersama rakan agensi di peringkat negeri termasuk Majlis Agama Islam Negeri bagi melaksanakan bank makanan itu.
Menurutnya, konsep utama perancangan itu adalah menyimpan bekalan makanan dalam tempoh lebih lama dan paling penting selamat dimakan.
“Bagi menjayakannya, pada peringkat awal sejumlah RM300,000 dana diperuntukkan bagi pembelian mesin Retots dan mewujudkan dapur berpusat bagi memastikan penyediaan bekalan makanan terjamin dan sentiasa mencukupi.
“Penggunaan mesin Retots membolehkan makanan yang dipanaskan dengan suhu mencecah 120 darjah Celsius mampu menyahkan bakteria dan menjadikan makanan tahan lama sehingga setahun tanpa perlu disimpan dalam peti sejuk beku,” katanya.
Tambah Abibullah, Yapeim dalam fasa perbincangan dengan Majlis Agama Islam Negeri atau mana-mana badan korporat yang berminat untuk menyertai projek tersebut.
Selain itu katanya, penggunaan mesin Retots akan dikembangkan penggunaannya kepada usaha membantu usahawan kecil dan sederhana khususnya yang terlibat dalam industri makanan dan pati masakan.
“Melalui teknologi ini, kita juga boleh membantu usahawan produk makanan seperti pes yang boleh dilanjutkan tempoh luputnya dari tiga bulan kepada setahun. Ini secara langsung boleh membantu penjimatan kos operasi dan produktiviti,” katanya.











