ARAU 5 April – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan ibu bapa yang mempunyai anak autisme supaya sentiasa berjiwa besar dan tidak berasa malu dianugerahkan anak-anak istimewa ini.
Titah baginda, ibu bapa perlu meningkatkan usaha serta menambahkan lagi pengetahuan selain mengenepikan rasa gusar dalam diri masing-masing supaya anak-anak autisme ini tidak terlepas peluang untuk mendapatkan rawatan dan terapi yang sewajarnya.
“Mereka (ibu bapa) juga hendaklah mengenal pasti kecenderungan dan minat anak-anak austime ini seterusnya menggilap potensi mereka melalui latihan berterusan sekali gus dapat meningkatkan kemahiran masing-masing,” titah baginda. Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menghadiri Sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia 2019 peringkat Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis di Masjid An Nur UiTM Arau di sini, hari ini.
Keberangkatan tiba baginda ke program anjuran UiTM Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan negeri dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu disambut oleh Rektor UiTM, Zailuddin Ariffin dan Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti itu.
Tambah baginda, negara-negara luar seperti Korea Selatan mengambil inisiatif menerusi drama autisme bertajuk ‘A Good Doctor’ malah diterbitkan semula oleh Amerika Syarikat (AS) semata-mata bagi meningkatkan pengetahuan autisme kepada orang awam.
“Difahamkan negara kita juga ada sebuah filem bertajuk ‘Redha’ pernah diterbitkan dan ditayangkan pada April 2016. Justeru, penerbit drama atau filem di negara ini juga digalakkan menerbitkan lebih banyak drama atau filem berkualiti sebegini bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai autisme,” titah baginda.- UTUSAN ONLINE











