Aksi perseorangan profesional berakhir - Utusan Malaysia

Aksi perseorangan profesional berakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 April – Kempen perseorangan lelaki profesional di Terbuka Malaysia berakhir selepas Chong Wei Feng tewas di pusingan pertama yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini hari ini.

Pemain berusia 32 tahun yang menghuni ranking ke-58 dunia berjaya mendapatkan tempat di kejohanan bertaraf Siri Jelajah Dunia Super 750 itu pada saat-saat akhir selepas ada pemain yang menarik diri daripada pertandingan bernilai AS$700,000 (RM2.86 juta) itu.


Dalam aksi itu, Wei Feng tewas kepada wakil Jepun Kanta Tsuneyama 12-21, 12-21.

Memuatkan artikel berkaitan…


Bekas pemain kebangsaan itu mengakui sangat bernasib baik kerana dapat beraksi di kejohanan itu kerana tidak ramai pemain akan menarik diri daripada pertandingan bertaraf Super 750.


Katanya, permainannya hari ini agak kurang baik kerana dia gagal menandingi kepantasan yang ditampilkan Tsuneyama selain pemain dari Jepun itu sememangnya konsisten.


“Memang dia lagi konsisten semasa dalam gelanggang, dia juga lebih pantas berbanding saya dan pertahanan sangat baik, jadi susah saya mahu dapat mata.


“Selepas ini, saya akan beri tumpuan kepada kejohanan lebih kecil seperti Super 100 dan 300 kerana untuk menyertai Super 500 saya perlu lalui aksi kelayakan manakala Super 750 dan Super 1,000 jarang ada pemain yang akan menarik diri.


“Secara realistiknya, saya boleh berada dalam kelompok 30 pemain terbaik menjelang hujung tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas tamat permainan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini