Ais tingkap rezeki musim panas - Utusan Malaysia

Ais tingkap rezeki musim panas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 1 April – Cuaca panas membahang yang sedang melanda negeri ini ditambah dengan musim cuti persekolahan bagaikan memberi rezeki berganda buat peniaga ais tingkap yang terletak di Lebuh Tamil, Georgetown di sini.

Memasuki usia 100 tahun perniagaan pada tahun ini, ais tingkap atau lebih popular dengan nama air sarbat dalam kalangan penduduk negeri ini kini menjadi antara salah satu kegemaran pelancong untuk menghilangkan dahaga serta menyejukkan badan.

Perniagaan ais tingkap kini diteruskan legasinya oleh lima bersaudara yang mengekalkan resipi air ramuan istimewa daripada keluarga mereka itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Salah seorang pengusaha kedai ais tingkap, Mohamed Jafri Seeni Mohamed, 35, berkata, minuman sejuk berais dengan campuran air dan isi kelapa, getah anggur, biji selasih dan akar sarbat itu menjadi pilihan ramai pada musim panas kerana khasiatnya yang mampu menyejukkan badan.

Katanya, pada hari-hari biasa, mereka mampu menjual sehingga 200 gelas air sarbat sehari, namun permintaan pe­langgan meningkat mendadak ketika musim panas ketika ini.

“Ditambah lagi dengan musim cuti sekolah atau cuti umum panjang, dalam sehari kira-kira 500 gelas mampu dijual dan ada ketikanya pelanggan kecewa apabila air ini habis dijual walaupun baharu pukul 5 petang,” katanya ketika ditemui di Lebuh Tamil di sini baru-baru ini.

Menurut Mohamed Jafri, selain air dan isi kelapa, getah anggur, biji selasih serta akar sarbat, ais tingkap turut diadun dengan rempah-ratus bagi memberi rasa unik dan segar apabila pelanggan menikmatinya.

“Segala kelengkapan untuk membuat air ini kami sediakan pada waktu malam dan setiap hari pada pukul 11 pagi kami akan memulakan perniagaan.

“Kami akan menutup kedai pada pukul 7 malam, namun ketika musim panas selalunya bahan ramuan ais tingkap ini habis lebih awal daripada kebiasaan,” katanya.

Mohamed Jafri berkata, nama ais tingkap tercipta kerana dahulu keluarganya menjual minuman air campuran istimewa itu hanya menerusi tingkap kedai dan nama tersebut kekal digunakan sehingga kini.

Dalam pada itu, seorang pelanggan, Mohd. Khairul Annuar Mohd. Kamal, 30, berkata, setiap minggu dia pasti membeli ais tingkap itu untuk menyejukkan badan pada musim panas.

“Saya bekerja sebagai penghantar barang dan ais tingkap ini merupakan salah satu air penyejuk badan ketika musim panas ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini