Acara lelongan 100 kenderaan sita JPJ catat nilai bidaan RM2.3 juta - Utusan Malaysia

Acara lelongan 100 kenderaan sita JPJ catat nilai bidaan RM2.3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH 24 April – Sebanyak 100 buah kenderaan sita daripada pelbagai jenis dibida orang ramai pada acara Lelongan Awam Kenderaan Sita yang berlangsung kira-kira empat jam di pejabat JPJ Pulau Pinang di sini hari ini.

Acara lelongan yang bermula kira-kira pukul 10 pagi itu disertai seramai 570 orang awam dan berjaya mengutip hasil sebanyak RM2,314,200.

JPJ negeri dalam satu kenyataan berkata, kenderaan pertama yang berjaya dibida adalah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish 1.8 (A) pada harga RM24,000.

Memuatkan artikel berkaitan…
JPJ
 

Sementara itu, katanya, kutipan tertinggi pula adalah melalui dua buah MPV jenis Toyota Estima 2.4 (A) yang dibida masing-masing pada harga RM52,000.

“Selain itu, kereta jenis Nissan Sentra 1.6 dan Nissan March 1.0 masing-masing berjaya dibida pada harga RM7,000 iaitu sebagai bidaan terendah,” demikian menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Sementara itu, tambah kenyataan itu, sebanyak tiga buah kenderaan tidak boleh didaftar turut habis dibida dengan nilai keseluruhan RM9,200.

Katanya, JPJ negeri secara keseluruhannya berjaya mengutip sebanyak RM2,419,200 termasuk daripada penjualan buku-buku manual lelongan.

“Hasil lelongan hari ini bagi 100 buah kenderaan itu adalah sebanyak RM2,314,200 manakala hasil penjualan buku lelongan yang bermula 25 Mac hingga semalam adalah sebanyak RM105,000,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini