KUALA LUMPUR 4 April – Sebanyak 70 negara merangkumi 106 peserta akan menyertai Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-61 bermula 15 hingga 20 April ini.
Majlis yang dijadualkan berlangsung buat kali pertama di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu juga bakal menyaksikan penyertaan baharu tujuh negara iaitu Azerbaijan, Montenegro, Sweden, Norway, Austria, Kenya dan Ivory Coast.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof memberitahu kesemua 106 orang peserta itu akan melalui peringkat saringan dengan 38 orang akan bersaing di peringkat akhir bagi Tilawah dan 36 bagi kategori Hafazan.
Jelas beliau, majlis tersebut akan membawa tema ‘menyantuni umat membawa rahmat’ bertepatan dengan usaha kerajaan yang sentiasa menerapkan tiga teras utama iaitu Rahmatan Lil Alamiin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia.
“Penganjuran yang memasuki tahun ke-61 ini merupakan usaha berterusan kerajaan meningkatkan syiar Islam sebagai rahmat bagi sekelian alam.
“Kerajaan juga komited menerapkan budaya minat membaca al-Quran dan memahami intipatinya serta mengaplikasikan tuntutan dan larangan Yang Maha Esa dalam kehidupan seharian,” katanya dalam sidang akhbar prapelancaran Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-61 di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











