KUALA LUMPUR 26 April – Proses pertukaran dan penempatan semula pegawai dan anggota Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangesterisme (STAGG), Pasukan Khas Taktikal Narkotik (STING) serta Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) giat dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, sehingga kini sebanyak 60 peratus arahan bertukar kepada pegawai serta anggota sudah dikeluarkan susulan penstrukturan semula tiga pasukan khas itu.
Ujarnya, tiga pasukan khas PDRM itu bagaimanapun belum lagi dibubarkan biarpun arahan pemindahan pegawai dan anggota sudah dikeluarkan secara berperingkat.
“Buat masa ini sebanyak 60 peratus arahan pertukaran dalam pasukan itu sudah dikeluarkan dan proses penstrukturan pasukan khas itu dijangka lengkap dalam masa terdekat.
“Namun, pertukaran tersebut bukan bermakna tiga pasukan khas PDRM itu akan dibubarkan kerana ianya memerlukan waran pelaksanaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Lawatan Hospital Sempena Peringatan Hari Polis Ke-212 di Hospital Selayang di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE










