KUALA LUMPUR – Enam individu warga Nigeria ditahan berhubung kejadian pergaduhan yang mengakibatkan tiga daripada mereka cedera akibat ditetak dengan parang pada 8 April lalu di ibu negara.
Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superitendan Rudy Abdullah berkata, kesemua suspek ditahan dalam satu serbuan oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Dang Wangi kira-kira pukul 10.30 malam hingga 2 pagi di sekitar Cyberjaya, Sepang, kelmarin.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada empat lelaki serta dua wanita berusia 25 hingga 35 tahun dan mendakwa masuk ke negara ini sebagai pelajar namun tiada sebarang bukti untuk mengesahkan dakwaan tersebut berjaya ditunjukkan.
“Kesemua suspek juga gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah namun ujian air kencing yang dilakukan adalah negatif,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Dang Wangi di sini.
Menurut beliau, siasatan awal yang dilakukan mendapati telah berlaku perselisihan faham di antara ketiga-tiga mangsa dengan kesemua suspek sewaktu mengunjungi sebuah pusat hiburan di ibu kota yang mengakibatkan kepada pergaduhan.
“Susulan pergaduhan tersebut, kesemua mangsa telah membuat laporan polis yang kemudiannya membawa kepada tangkapan keenam-enam suspek.
“Kesemua suspek yang ditahan selama 14 hari di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” tegas beliau. – K! ONLINE











