PUTRAJAYA 3 April – Sebanyak 39 bangunan kerajaan yang beroperasi di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini, masih tidak memiliki Sijil Perakuan Bomba (FC).
Ketua Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, jumlah tersebut yang merupakan antara 140 bangunan kerajaan belum miliki FC di seluruh negara adalah kategori bangunan ditetapkan (designated builing).
“Bangunan yang dikategorikan sebagai bangunan ditetapkan perlu memenuhi syarat tertentu antaranya menubuhkan Jawatankuasa Kebakaran Bangunan (OKK) yang terdiri daripada pihak pengurusan dan Pengurus Keselamatan Kebakaran.
“Justeru kita berharap kesemua bangunan berkenaan termasuk 39 buah di Putrajaya dapat memiliki FC selewat-lewatnya akhir tahun hadapan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Istiadat Pengurniaan Pingat Kebesaran JBPM, di sini hari ini.
Mengulas lanjut Mohammad Hamdan berkata, bangunan ditetapkan juga perlu mempunyai sistem kawalan pengesanan kebakaran automatik sebagaimana diperuntukkan dalam Akta 341 bagi mendapatkan FC.
Justeru katanya, bomba kini sedang giat menjalankan pemeriksaan sekali gus mengenal pasti kelemahan serta peralatan perlu dipasang di samping memperbaiki aspek keselamatan kebakaran di bangunan terlibat secara berperingkat.
“Kita faham bahawa penyelenggaraan memerlukan peruntukan kewangan yang besar dan sebab itu pihak pengurusan diminta menubuhkan sebuah pasukan untuk mengaudit langkah pencegahan dan kesedaran bagi mengelak kesan yang lebih besar.
“Jika langkah pencegahan dipatuhi, kita jangka kebarangkalian berlaku kebakaran dapat dikurangkan dan walaupun berlaku (kebakaran), kesannya tidaklah besar,” katanya.
Sementara itu pada majlis berkenaan, seramai 124 penerima dianugerahkan pingat kebesaran JBPM termasuk Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye yang menerima Pingat Ketua Pengarah (PKP).
Daripada jumlah itu, seramai 17 pengamal media elektronik dan cetak dianugerahkan Pingat Cemerlang Bomba sebagai tanda penghargaan jabatan tersebut kepada agensi media terlibat. – UTUSAN ONLINE











