KUALA LUMPUR 12 April – Keputusan kerajaan untuk meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) disambut baik Gerakan.
Namun, disebabkan banyak perkara berkaitan projek itu masih kabur, Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai berharap kerajaan dapat menjelaskan beberapa impak penangguhan projek itu kepada pihak yang terlibat.
“Bagaimana pengurangan kos akan memberi impak kepada projek itu? Adakah kos yang dikurangkan akan mengurangkan tahap keselamatannya?
“Bagaimana dengan pampasan kepada begitu banyak syarikat dan individu yang terkesan dengan proses tender semula serta penangguhan projek itu?” soalnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan projek ECRL akan diteruskan dengan kos yang lebih rendah selepas kerajaan Malaysia dan China melakukan rundingan selama beberapa bulan.
Kenyataan itu berkata, kos pembinaan untuk fasa 1 dan 2 ECRL kini telah dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asal RM65.5 bilion.
Mengulas lanjut, Dominic menegaskan kerajaan tidak sepatutnya mengambil kredit daripada pengurangan kos projek itu kerana pampasan yang disebabkan penangguhan dan proses tender semula projek itu pasti menyebabkan penjimatan tersebut sia-sia.
Beliau juga meminta kerajaan mendedahkan fakta-fakta tentang pengurangan kos, pampasan yang dibayar serta lain-lain maklumat yang relevan. – UTUSAN ONLINE











