KOTA TINGGI 3 April – Tiga pelajar maut termasuk dua daripadanya tercampak keluar selepas kereta Perodua MyVi yang dipandu seorang guru wanita terlibat kemalangan dengan kereta Proton Wira di Bandar Penawar, dekat sini pukul 6.31 petang tadi.
Dalam kemalangan itu, dua pelajar tersebut meninggal dunia selepas tercampak keluar, seorang pelajar lagi maut akibat tersepit di tempat duduk hadapan manakala guru wanita itu patah kaki.
Semua mangsa adalah dari Sekolah Menengah Luqman Hakim, Felda Lok Heng dan ketika kemalangan, kereta dipandu guru wanita itu dari arah Penawar ke Kota Tinggi sementara Proton Wira pula dari Semenchu ke Felda Lok Heng.
Penyelia Pasukan di Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, Pegawai Bomba Kanan II Abdul Rahim Abdul Rani berkata, seramai enam anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kesemua pelajar berusia antara 16 dan 17 tahun itu meninggal dunia dan disahkan oleh Pegawai Perubatan yang hadir di lokasi. Kesemua mangsa di hantar ke Hospital Kota Tinggi. Operasi tamat pukul 7.40 malam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











