KANGAR 3 April – Tahun 2018 yang lalu menyaksikan beberapa inisiatif perubahan dan lonjakan positif dalam meningkatkan kredibiliti dan nama baik serta pencapaian hala tuju Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan semua jabatan dan agensi agama Islam di negeri Perlis.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, antaranya, MAIPs telah berjaya mencatat sejarah sebagai ‘Penerima Sijil Tanpa Teguran Ketua Audit Negara’ bagi ‘Penyata Kewangan MAIPs Tahun 2017’ bagi 6 tahun berturut-turut.

“Marilah kita sama-sama berdoa semoga ‘Anugerah 5 Bintang’ di dalam ‘Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti Tahun 2018’ oleh Jabatan Audit Negara juga dapat diperolehi pada kali ini.
“Pembinaan Projek Mercu Tanda MAIPs seperti ‘Pembinaan Pusat Hemodialisis Wakaf MAIPs-Hospital Tuanku Fauziah’, kerjasama dengan Hidayah Centre Foundation (HDC) dalam ‘Program Dakwah HDC 2018’ sebagai pemangkin kerjasama dakwah dan keharmonian di antara masyarakat berbilang bangsa dan agama selain pelaksanaan pelbagai program di pelbagai peringkat berjaya dilaksanakan.
Demikian titah tuanku ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Majlis Apresiasi Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2018 Bagi Jabatan Dan Agensi Agama Islam Negeri Perlis’ yang diadakan di Dewan Bakawali Mes Pegawai Kanan PDRM di Jalan Raja Muda, Kangar malam semalam.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor.
Program ini melibatkan kehadiran Pekhidmat MAIPs dan warga kerja seluruh agensi berkaitan yang merangkumi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Jabatan Mufti Negeri Perlis, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs) dan Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis.
Baginda yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs menambah bahawa dalam aspek pengantarabangsaan pula, organisasi tersebut melalui kerjasama dengan beberapa pihak lain turut mengharumkan Perlis dengan menerima kunjungan tokoh-tokoh terkemuka antarabangsa selain melaksanakan ‘Lawatan Misi Bantuan Ke Al Quds Palestin’, ‘Lawatan Mahabbah Bersama Majlis Agama Islam enam Wilayah Andaman, Thailand’ dan sebagainya.
Di majlis yang sama dua orang usahawan terkenal diumumkan menerima anugerah khas iaitu Tan Sri Datuk Mohd Ariffin Mohd Yusuf (Anugerah Jasamu DiKenang) dan Tan Sri Datuk (Dr) Mustapha Kamal Abu Bakar (Anugerah Rakan Kolaborasi MAIPs).











