KUALA LUMPUR 17 April – Sebanyak 16 lelaki terdiri daripada pemain dan penjaga pusat judi dalam talian ditahan dalam serbuan di dua premis rumah kedai Taman Miharja, Cheras, di sini semalam.
Serbuan bermula pukul 10 malam itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dan Balai Polis Cheras selepas menerima maklumat daripada orang awam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, tangkapan melibatkan sembilan warga tempatan, empat warga Bangladesh dan tiga warga Pakistan yang berusia antara 21 dan 65 tahun.
“Dalam serbuan pertama, kita menahan lima pemain dan seorang penjaga kaunter. Kita dapati pusat judi dalam talian tersebut baru dibuka lima hari.
“Selepas itu, menerusi serbuan kedua, kita menahan seorang penjaga kaunter, dua penjaga pintu premis, tiga pemain dan empat penonton yang berada dalam premis judi yang baru beroperasi selama sebulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ujar Mohamed Mokhsein, pihaknya turut merampas lapan komputer riba, modem (empat), telefon bimbit (enam), buku catitan (dua), kad akses (enam) dan wang tunai RM800 menerusi kedua-dua serbuan.
“Kesemua suspek kini ditahan reman tiga hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.
“Saya mohon orang ramai terus bekerjasama dengan pihak polis dalam menyalurkan maklumat berkaitan bagi membanteras aktiviti jenayah di kawasan masing-masing. – UTUSAN ONLINE











