PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) mengenal pasti sebanyak 140 buah bangunan kerajaan di seluruh negara masih belum memiliki sijil perakuan bomba (FC).
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 39 daripadanya adalah di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan Putrajaya.
“Ada bangunan yang pihak bomba beri tempoh sehingga sembilan bulan untuk memenuhi keseluruhan aspek sebelum FC dikeluarkan.
“Bagaimanapun, (tempoh itu) bergantung kepada keberatan untuk mematuhi peraturan. Meskipun demikian, sebahagian besar bangunan di sini adalah bangunan baharu dan saya tidak fikir sistem (perlindungan kebakaran) bermasalah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JBPM di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohammad Hamdan berkata, sistem pemadaman api lain bagaimanapun memerlukan masa dan peruntukan kewangan yang besar kerana perlu diperbaiki, diganti dan diselenggara dari masa ke semasa.
“Yang ambil masa panjang adalah sistem sprinkler dan pemadaman lain yang melibatkan kos,” katanya.
Mohammad Hamdan berkata, pihaknya berharap semua bangunan kerajaan di Putrajaya akan mendapat FC menjelang tahun depan.
“Itu adalah tempoh yang kita boleh bagi, jika kegagalan pematuhan sangat kritikal mungkin tindakan boleh diambil kepada pemilik bangunan,” katanya.
Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Kebesaran JBPM kepada 124 penerima termasuk Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye yang menerima Pingat Ketua Pengarah (PKP). – K! ONLINE











