PASIR GUDANG 16 Mac – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri mengesahkan kehadiran gas hidrogen sianida terkandung dalam udara tercemar akibat pencemaran toksik di Sungai Kim Kim di sini pada 7 Mac lalu.
Pengarahnya, Datuk Yahaya Madis berkata, hidrogen sianida adalah antara gas berbahaya daripada 15 gas yang dikesan pihaknya ketika melakukan pencerapan kualiti udara.
“Sepanjang operasi dijalankan, bacaan tertinggi yang direkodkan ialah 4.5ppm di Taman Tanjung Puteri pada Rabu lalu. Namun bacaan itu hanya bertahan kira-kira dua jam sebelum kembali ke paras berjaga-jaga.
“Dalam bacaan tersebut, kita mengesan ia mengandungi 15 jenis gas dan antara gas berbahaya yang dikesan ialah hidrogen sianida,” katanya dalam sidang akhbar pusat rawatan awal di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini sebentar tadi.
Yahaya berkata, ada beberapa kawasan dibuat pengungsian selepas mencatatkan bacaan kualiti udara yang tinggi namun tidak merebak ke kawasan lain.
Kata beliau, pihaknya mengklasifikasikan kawasan dalam radius 1.5 kilometer dari kawasan sungai tercemar kekal sebagai zon merah walaupun bacaan berada di bawah paras berjaga-jaga. – UTUSAN ONLINE











