Warga emas ditahan selepas serang jiran dengan penyodok longkang - Utusan Malaysia

Warga emas ditahan selepas serang jiran dengan penyodok longkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT – Seorang wanita warga emas ditahan polis selepas dia bertindak menyerang jirannya menggunakan penyodok longkang dan memukul seorang lelaki yang juga jirannya kerana marah selepas anjing peliharaannya dihalau di Kampung Muhibbah di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi itu, wanita berusia 72 tahun itu turut memecahkan cermin bahagian penumpang hadapan kenderaan pacuan empat roda mangsa. 

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Rozeni Ismail berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 40 tahun itu pulang ke rumahnya di Kampung Muhibbah sebelum bertindak menghalau dua ekor anjing milik suspek yang berada di hadapan pagar rumahnya. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perbuatan menghalau anjing itu menyebabkan suspek marah dan berlaku pertengkaran mulut sehingga dia mula menyerang mangsa dengan menggunakan penyodok longkang. 

“Mangsa cuba melarikan diri dengan masuk ke dalam kenderaannya jenis Toyota Hilux namun suspek telah menghayunkan penyodok itu sehingga memecahkan cermin bahagian penumpang hadapan,” katanya. 

Katanya, mangsa telah lebam di lengan kanan selepas dipukul suspek dan dia mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Siput sebelum melaporkan kejadian itu kepada polis. 

“Suspek telah ditahan di rumahnya pada pukul 3 petang pada hari sama dan penyodok longkang tersebut juga dirampas. 

“Dia kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata,” katanya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini