SUNGAI PETANI – Seorang wanita warga Indonesia melecur pada perut dan tangan kiri selepas suaminya bertindak menyimbah petrol pada badan mangsa sebelum menyalakan api dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Permatang Gedung di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 30-an terlebih dahulu dipukul dan ditendang kerana didakwa mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, suspek berusia 43 tahun berang apabila mangsa tidak mengaku mempunyai hubungan sulit sepanjang suspek berada di dalam penjara.
“Suspek kemudian mengambil sejenis cecair dan menyimbahnya ke arah pengadu dan wanita itu terus masuk ke dalam bilik air untuk mandi sebelum terhidu bau petrol.
“Lelaki itu terus menyalakan api menyebabkan baju mangsa terbakar dan dia terus berlari masuk ke dalam bilik untuk memadamkan api,” katanya dalam satu kenyatan hari ini.
Kata beliau, wanita terbabit menghubungi polis yang bertugas di pondok Taman Sejati sebelum suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.
“Mangsa yang mengalami kecederaan kesan melecur pada perut dan celah tangan kiri menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim di sini,” ujarnya.
Tambahnya, suspek yang bekerja sendiri direman selama empat hari bermula hari ini dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. – K! ONLINE











