PETALING JAYA – Seorang bekas pegawai pemasaran berputih mata selepas wang simpanannya berjumlah RM560,000 lesap akibat diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis menerusi satu panggilan telefon pada Isnin lalu.
Mangsa berusia 71 tahun itu dikatakan menerima panggilan daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak sebelum mendakwa mangsa terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, takut dengan desakan suspek, mangsa bertindak memindahkan wang simpanannya ke akaun bank yang diberikan suspek dengan alasan wang tersebut akan dikembalikan sebaik siasatan selesai.
“Susulan pemindahan wang itu selesai, baru mangsa tersedar dirinya diperdaya sebelum membuat laporan polis semalam,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya lagi, bertindak atas maklumat dan risikan pihak polis menahan seorang lelaki berusia 60 tahun di sebuah bank di ibu negara pagi tadi ketika mengeluarkan wang berjumlah RM250,000.
“Penahanan terhadap suspek dibuat susulan pihak bank curiga dia membuat pengeluaran dengan jumlah yang sama sehari sebelumnya.Turut dirampas satu buku bank serta resit transaksi pengeluaran.
“Suspek yang bekerja di pasar malam itu ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – K! ONLINE











