GEORGE TOWN – Sekumpulan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis yang diarahkan mengosongkan unit sewaan mereka baru-baru ini cuba menghalang seorang setiausaha politik kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, daripada meninggalkan lokasi pertemuan mereka malam ini.
Setiausaha politik itu, Abu Bakar Yahya, terpaksa menunggu di dalam keretanya hampir 20 minit selepas kumpulan penduduk itu menghalang laluan kenderaannya keluar dari bangunan Komtar di sini di mana mereka telah berkumpul sejak semalam.
Bagaimanapun, kehadiran beberapa orang pegawai dan anggota polis ke lokasi itu berjaya meredakan keadaan kecoh itu bagi membolehkan Abu Bakar untuk meneruskan perjalanannya.
Ketua Pemuda Bersatu Pulau Pinang, Shameer Sulaiman yang turut dikepung oleh sekumpulan penduduk yang tidak berpuas hati dengan penjelasannya juga terpaksa meninggalkan ruang legar bangunan itu dengan bantuan anggota polis.
Sebelum itu, Abu Bakar telah tiba di bangunan Komtar itu kira-kira pukul 7.00 malam untuk bertemu penduduk yang terlibat bagi mendengar sendiri isu yang dihadapi mereka. – Bernama











