KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia menimbang cadangan Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) untuk mewajibkan suntikan imunisasi sekurang-kurangnya dua daripada 12 vaksin di bawah Program Imunisasi Kebangsaan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, dua vaksin itu ialah MMR bagi merawat penyakit demam campak, beguk dan rubela serta vaksin difteria.
Menurutnya, cadangan mewajibkan dua vaksin itu akan dipertimbangkan pihaknya terlebih dulu menerusi satu pasukan khas yang telah dibentuk di peringkat kementerian.
“Contohnya jika dua vaksin ini diwajibkan, kita akan dapat menghalang enam atau tujuh jenis penyakit.
“Kita akan lakukan yang terbaik untuk memastikan kejadian seperti kematian kanak-kanak akibat difteria di Johor Bahru, Johor tidak akan berulang,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Persidangan Penjagaan Kesihatan 2019 di sini semalam.
Suntikan MMR dos pertama serta kedua diberikan kepada bayi berusia sembilan dan 12 bulan, manakala vaksin difteria pula bagi bayi yang berusia dua, tiga dan lima bulan.
Di Putrajaya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan menggalakkan pemberian suntikan imunisasi kepada kanak-kanak walaupun buat masa ini tiada peraturan yang mewajibkan ibu bapa berbuat demikian.
“Itu pilihan ibu bapa, namun kita mengesyorkan lindungilah anak-anak dengan vaksin sebelum terkena penyakit itu,” katanya selepas melancarkan kad orang kelainan upaya (OKU) baharu bagi Sub Kategori Pembelajaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 9(2) semalam.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.











